AGENDANASIONAL

Tawas edar 25,000 kit penjagaan diri, cegah penularan wabak

GOMBAK, 5 DIS: Sebanyak 25,000 unit kit penjagaan diri disumbang kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kelahiran 2009 sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata inisiatif Kit I-Safe meliputi pelitup muka guna pakai dan cecair pembasmi kuman 100 milimeter.

“Usaha ini digerakkan sebagai langkah awal bagi mengekang penularan wabak selain pelbagai inisiatif lain yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada ahli Tawas di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini.

Bantuan kepada ahli kelahiran 2015 yang bakal memasuki darjah satu tahun depan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Pei Nei berkata seramai 365,920 anak kelahiran Selangor berdaftar di bawah skim terbabit setakat ini dengan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

“Kita sentiasa memantau dan memastikan peralatan diberikan kepada ahli yang terbaik serta memenuhi kehendak semasa.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yawas untuk memastikan bantuan diberikan menepati hasrat dan inspirasi Kerajaan Selangor sebagai negeri yang peduli rakyat,” katanya.

Beroperasi sejak 2008, Yawas bertanggungjawab mengurus program Tawas yang menjadi antara program kebajikan terawal di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau kini dikenali Inisiatif Peduli Rakyat.

Anak Selangor yang layak dan mendaftar bawah program berkenaan juga akan menerima tabungan bernilai RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

 


Pengarang :