Sukarelawan Team Selangor mengedarkan pek makanan kepada mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pada 19 Disember 2021. Foto Team Selangor
AGENSISELANGOR

Team Selangor agih 700 pek makanan untuk mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Team Selangor mengedarkan 700 pek makanan kepada mangsa banjir di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini semalam.

Ketua sekretariatnya berkata seramai 60 sukarelawan terdiri daripada 30 mahasiswa dan 30 komuniti sekitar Selangor terlibat dalam kerja pembungkusan serta mengagihkan barangan berkenaan.

Syahaizel Keman berkata kesemua pek makanan itu diedarkan di PPS Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Naga (150) dan PPS Dewan Majli Perbandaran Klang (MPK) Kampung Jawa (50).

Manakala masing-masing 100 di PPS Sekolah Rendah Agama Padang Jawa, PPS Kampung Teluk Menegun, PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan PPS Dewan Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar.

Baki 100 pek makanan lagi diserahkan kepada wakil Ahli Majlis MPK N42B.

“Kerja pembungkusan pek makanan melibatkan semua sukarelawan Team Selangor dijalankan di Dewan MBPJ PJS 4/46 Petaling Jaya. Terima kasih mereka dan MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) kerana membenarkan kami menggunakan dewan ini,” katanya.

Sukarelawan Team Selangor yang terlibat dalam kerja pembungkusan pek makanan di Dewan Dewan MBPJ PJS 4/46 Petaling Jaya pada 19 Disember 2021. Foto Team Selangor

 

Sukarelawan Team Selangor bersama pek makanan yang diagihkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pada 19 Disember 2021. Foto Team Selangor

Pengarang :