Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama sukarelawan Team Selangor ketika Majlis Temu Rapat dan Peluncuran Mycatalyz di Dewan Megawati, Shah Alam pada 5 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Team Selangor berbakti pada rakyat, bantu saat getir

SHAH ALAM, 5 DIS: Penubuhan Team Selangor sejak lima tahun lalu memanfaatkan rakyat negeri ini terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Meskipun ada yang mempertikai fungsi pasukan itu, namun Dato’ Menteri Besar berkata penubuhannya diteruskan demi menjaga kepentingan masyarakat.

“Pada 2020 dan 2021 kita lalui keadaan getir. Kita berdepan Covid-19, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKP Bersyarat, PKP Diperketat. Akhirnya kita tahu kepentingan Team Selangor.

“Langkah kita tepat. Kita perlu ada pasukan sukarelawan yang membantu masyarakat. Terima kasih kerana ada ketika rakyat memerlukan seperti banjir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap pada Majlis Temu Rapat dan peluncuran Program MyCatalyz yang dikendalikan Team Selangor di Dewan Megawati di sini hari ini.

Amirudin berkata Team Selangor juga berperanan membentuk masyarakat menjadi sukarelawan atau ejen reformasi demi masa depan negara.

“Kita bukan suka-suka tapi kita mahu lahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Kita perlu jadi yang terawal bantu masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada agensi tertentu,” katanya.

Team Selangor yang memiliki lebih 50,000 ahli di seluruh negeri antara pasukan yang sering tampil membantu penduduk negeri ini dalam kesusahan.

Antara khidmat mereka termasuk bertugas di pusat vaksin negeri, membersihkan kediaman mangsa banjir selain menjalankan aktiviti gotong-royong bagi mengajak masyarakat memulihara alam sekitar.


Pengarang :