Ahli Team Selangor bergotong royong membersihkan kawasan dilanda banjir pada program pembersihan Team Selangor dengan kerjasama Pekawanis serta Puspanita Shah Alam di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Team Selangor edar lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Team Selangor mengagihkan lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk negeri ini yang terjejas banjir setakat hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata lebih 400 anggota sukarelawan digerakkan bagi menyedia dan mengedarkan bantuan terbabit.

“Kita pecahkan kepada tiga pasukan hari ini untuk mengedarkan sumbangan termasuk membantu membersihkan kawasan rumah penduduk yang terjejas.

“Selain itu, kita turut membantu menyampaikan sumbangan daripada orang ramai kepada mangsa banjir antaranya kerusi roda, lampin pakai buang dan susu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam membabitkan pembersihan enam rumah di kampung terbabit.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.


Pengarang :