Sukarelawan Team Selangor bertungkus-lumus menyediakan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir di beberapa daerah di Selangor. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Team Selangor pelawa sertai sukarelawan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Team Selangor mempelawa individu atau organisasi yang berminat menjadi sukarelawan pasukan mereka untuk turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata antara syarat utama adalah perlu mempunyai minat yang tinggi dalam aktiviti kesukarelawanan dan sihat tubuh badan.

“Kita mengalu-alukan penglibatan orang awam yang ada kereta pacuan empat roda bagi memudahkan pergerakan ke lokasi banjir untuk membawa sukarelawan dan peralatan pembersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, setakat ini lebih 250 sukarelawan terlibat dan berharap angka itu semakin bertambah supaya kerja pascabanjir dapat dilaksana dan selesai segera.

Individu yang berminat boleh daftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.


Pengarang :