Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Teliti projek Canal City, pertimbang aspek urus banjir

SELAYANG, 31 DIS: Pembinaan terusan Canal City perlu dipertimbang dan diteliti terutama melibatkan aspek pengurusan banjir, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri tiada halangan berhubung projek itu namun ia mestilah dapat menampung jumlah air yang tinggi.

“Perlu terima hakikat pada 18 Disember lalu jumlah hujan tiga kali ganda daripada biasa, kalau buat terusan atau kedalaman tetap tidak dapat menangani banjir sebab berlaku limpahan.

“Apa sekalipun nama kita tiada masalah tetapi kena tengok balik dan Kerajaan Negeri akan pertimbang mengikut kesesuaian daripada segi pengurusan banjir di Selangor. Namun keutamaan jelas iaitu selamatkan nyawa, proses pembersihan dan penyampaian sumbangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau Apartment Teratai di Bandar Baru Selayang semalam ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan.

Tambah Amirudin Kerajaan Negeri telah bermesyuarat dengan setiap pejabat tanah sebagai persediaan sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

“Mesyuarat telah dijalankan untuk meningkatkan persediaan dan aset. Kita bersiap sedia walaupun Selangor bukan negeri berisiko seperti di Pantai Timur,” katanya.

Projek Canal City yang memperuntukan RM3 bilion merupakan pembinaan terusan air utama sepanjang 18 kilometer (km) merentasi daerah Klang hingga ke Hulu Langat.

Projek ini menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat dan bertujuan mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak.


Pengarang :