Lawatan Dato’ Menteri Besar ke pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 19 Disember 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDANASIONALSELANGOR

Teluk Panglima Garang, Jenjarom terjejas teruk, 1,099 mangsa dipindah

KUALA LANGAT, 19 DIS: Beberapa kawasan di daerah Kuala Langat terus dinaiki air sejak petang Jumaat susulan hujan berterusan tanpa henti.

Tinjauan Bernama mendapati mukim Teluk Panglima Garang yang meliputi Jalan Kebun, Olak Lempit, Taman Jenjarom Permai, Taman Seri Jaromas, Kampung Kelanang, Telok Mengkuang, Jalan Sukepi, Jalan Nangka dan Kampung Seri Cheeding antara kawasan terjejas teruk.

Justeru, Bilik Gerakan Bencana Daerah Kuala Langat diaktifkan bagi menyelaras tindakan oleh pihak agensi sejak semalam.

Menurut pegawai bilik gerakan itu, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan terdapat 1,099 mangsa daripada 297 keluarga.

“Antara PPS yang dibuka ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lanang, SK Olak Lempit dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Changgang,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beberapa jalan di daerah Kuala Langat juga ditutup termasuk Jalan Batu 9 Kebun Baru; Jalan Kampung Jenjarom; Jalan Masjid Batu 9; Jalan Murai; Jalan Merak; Jalan Sungai Rambai; Jalan Perepat dan Jalan Seri Cheeding.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Plumeria, Jenjarom, Rakesh Bathumalai berkata sekitar 700 rumah terjejas di kawasan itu akibat banjir yang melanda susulan hujan lebat sejak pukul 2 pagi, Jumaat lepas sehingga ramai yang terkandas di dalam rumah.

“Sistem perparitan dan saliran di kawasan perumahan ini tidak berfungsi dengan betul dan kita telah membuat aduan mengenainya beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Meskipun bukan kali pertama kawasan perumahan itu dilanda banjir, beliau mengakui kali ini merupakan paling teruk terjejas.

Rakesh juga meminta Majlis Perbandaran Kuala Langat dan pemaju Plumeria agar menyelesaikan masalah parit di kawasan itu supaya tidak berlaku banjir jika hujan lebat.

Bencana banjir melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pemandu terkandas akibat jalan raya sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.

– BERNAMA


Pengarang :