Kebaya fabrik Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai persalinan sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75 pada 27 November 2021. Foto FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan gayakan persalinan kebaya Tenun Pahang Diraja

SHAH ALAM, 6 DIS: Kebaya fabrik Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai persalinan sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75 pada 27 November lalu.

Persalinan kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu direka Datuk Radzuan Radziwill.

“Istimewanya, fabrik ini telah ditelepuk emas dengan corak bunga tanjong pecah sembilan sebagai simbolik kepada sembilan daerah dan jajahan dalam Selangor.

“Untuk rekod, seni tradisional menghias kain telepuk ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang Bugis dari Sulawesi,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office di Facebook.

Kenyataan itu memaklumkan seni tradisional menghias kain telepuk melibatkan proses menekap menggunakan cop ukiran kayu bergam ke atas kain tenun benang halus sebelum dilekapkan dengan kertas emas atau serbuk emas dan perak.

“Seni telepuk dengan tata hias emas ini dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana dan pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja dan golongan bangsawan seperti di China, India, Jepun dan Indonesia,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan Perbadanan Adat dan Warisan Selangor (Padat) giat mengembangkan seni telepuk untuk diteruskan generasi akan datang bagi mengekalkan warisan kraf tradisional.

 


Pengarang :