Anggota tentera membawa keluar mangsa banjir menggunakan bot penyelamat di kawasan sekitar Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia
AGENDANASIONAL

Tentera gerak aset bawa keluar mangsa terperangkap, agih makanan

SHAH ALAM, 19 DIS: Tentera Darat Malaysia (TDM) dari pelbagai unit melaksanakan operasi menyelamat orang awam yang terperangkap di kediaman masing-masing serta beberapa premis lain di sekitar bandar raya ini.

Kementerian Pertahanan berkata operasi  melibatkan beberapa unit Divisyen Keempat Infantri itu disertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Walaupun menghadapi kesukaran ekoran laluan bot penyelamat terganggu akibat dari objek-objek yang tenggelam, kerja-kerja pemindahan tetap berjalan dengan lancar,” kata kementerian di Facebook hari ini.

Katanya selain memindahkan mangsa, anggota ATM dan Bomba turut membuat pengagihan makanan kepada mangsa yang masih terperangkap sementara menunggu dipindahkan.

Dalam pada itu kata kenyataan itu anggota dan aset dari 11 Briged turut berada di sekitar kawasan Taman Mutiara, Dengkil, Sepang sejak semalam bagi membawa keluar mangsa banjir yang terkandas.

Bantuan banjir itu turut melibatkan polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Sepang selain penduduk setempat membantu pemindahan mangsa-mangsa banjir dan barangan penting ke kawasan selamat.
Seorang anggota tentera sanggup meredah banjir setinggi paras dada bagi menyelamatkan mangsa di Dengkil, Sepang pada 19 Disember 2021. Foto Facebook
Kementerian Pertahanan Malaysia

Pengarang :