Suasana sekitar Kebun Komuniti dan Laman Dapur di Seksyen 20, Shah Alam pada 23 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Terap konsep kejiranan hijau, wujud persekitaran sihat

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri menyeru setiap pangsapuri di negeri ini menerapkan konsep kejiranan hijau dalam kebun komuniti masing-masing bagi mewujudkan persekitaran sihat.

Ia selaras pengumuman insentif kejiranan hijau dalam belanjawan negeri tahun depan dengan mengutamakan penggunaan sumber semula jadi demi keselamatan dan kebajikan penduduk, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

“Kita amat prihatin dengan cabaran kehidupan di kediaman pangsapuri yang mana kawasan terlalu padat boleh mewujudkan persekitaran tidak sihat seterusnya menurunkan kualiti kehidupan bandar.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berucap merasmikan Program Pertandingan Anugerah Laman Hijau Strata Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Midland, Shah Alam pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Justeru, sudah sampai masanya Selangor menetapkan kriteria pembangunan pangsapuri dan kebun komuniti mesti mengadaptasi teknologi hijau. Ia mungkin boleh dimulakan dengan pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) serta solar,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini semalam.

Belanjawan #Selangor2022 memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi pemasangan produk teknologi hijau dan pembangunan kejiranan hijau di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan ‘Selangor Green Council’ bagi menyokong inisiatif pembangunan dan pertumbuhan sektor teknologi hijau.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rakyat negeri ini juga digalak membangunkan kebun komuniti yang boleh mendatangkan hasil untuk kegunaan sendiri atau dijual.


Pengarang :