Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin covid – 19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Ramal di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 18 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada lagi hadir terus, wajib daftar di SELangkah untuk dos penggalak

SHAH ALAM, 9 DIS: Warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak wajib mendaftar awal menggunakan kod baucar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata arahan terbaharu itu susulan permintaan tinggi pada hari pertama Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai semalam.

“Berikutan permintaan tinggi pada hari pertama, Selvax Booster tidak lagi menerima kehadiran terus.

“Warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak wajib melakukan prapendaftaran menggunakan kod baucar di aplikasi SELangkah untuk mendapatkan janji temu,” katanya di Facebook.

Beliau menambah slot janji temu di setiap Klinik Selcare terhad kepada 150 orang setiap hari.

Tutorial pendaftaran awal dan kod baucar boleh didapati melalui pautan https://bit.ly/selvaxb.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran 157,000 dos penggalak kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Suntikan pelalian itu boleh didapati di semua Klinik Selcare termasuk di Kuala Lumpur dengan lokasi boleh disemak melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinics/.

 

 

 


Pengarang :