EXCO Kerajaan Tempata Ng Sze Han berucap ketika majlis pelancaran pemakluman penggunaan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menggantikan kupon gores di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Tiada lagi kupon parkir kertas di Selangor mulai April tahun depan

PETALING JAYA, 18 DIS: Kerajaan Negeri akan memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores secara berperingkat mulai 3 Januari tahun depan.

EXCO kerajaan tempatan berkata pemansuhan itu akan digantikan dengan eKupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun melalui Apps Store atau Google Play Store.

“Individu yang masih ada stok kupon parkir kertas masih boleh gunakannya sehingga 31 Mac tahun depan. Ini bermakna mulai 1 April semua transaksi bayaran parkir di negeri ini akan menggunakan sepenuhnya kaedah digital,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi SSP di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Sze Han menjelaskan Kerajaan Negeri akan memikirkan mekanisme baharu sekiranya masih ada orang awam tidak mampu untuk menghabiskan kupon kertas selepas Mac tahun depan.

Selain itu, katanya, bagi individu tiada telefon pintar atau perbankan dalam talian mereka boleh membeli eKupon SSP di kedai serbaneka antaranya 99Speedmart atau 7Eleven.

“Saya harap dengan pemansuhan dan makluman awal ini dapat membantu kelancaran proses peralihan daripada penggunaan kupon kertas kepada eKupon SSP.

“Semoga inisiatif ini akan menjadi satu lagi program Smart Selangor untuk mudahkan kehidupan rakyat negeri ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pemansuhan kupon parkir kertas dan penggunaan eKupon SSP ini boleh dirujuk menerusi talian: 1-700-81-9612, atau emelkan kepada: [email protected] .


Pengarang :