Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiga LRA mula operasi, bekalan air di 11 kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 20 DIS: Tiga Loji Rawatan Air (LRA) yang terpaksa dihenti tugas susulan banjir memulakan operasi selain 11 kawasan menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 4 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air melibatkan LRA Semenyih 2 diagihkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya jam 10 malam ini.

“Bagi LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2, operasi dimulakan sepenuhnya dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11 malam hari Rabu.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Air Selangor, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

Peningkatan paras sungai akibat banjir di Selangor kelmarin menyebabkan LRA Semenyih 2, Sungai Langat, Langat 2 dan Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :