Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada persidangan Dewan Negeri Selangor pada 1 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TikTok antara platform Media Selangor promosi aktiviti ADN

SHAH ALAM, 1 DIS: Aplikasi TikTok antara medium digunakan Media Selangor bagi melaporkan aktiviti terkini wakil rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan berita disiarkan di YouTube SelangorTV turut diterbit semula dalam pelbagai format di Facebook, Instagram dan Twitter.

Beliau menjelaskan media rasmi Kerajaan Negeri itu juga menyediakan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi maklumat bersama pegawai pejabat Dewan Undangan Negeri.

“Sebagai media rasmi, Media Selangor berperanan sebagai penyambung antara Ahli Dewan Negeri (ADN) dan rakyat. Platform digital pula menyediakan liputan ADN melalui pelbagai segmen,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Balakong Wong Siew Kii yang diwakili ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung rancangan mengeratkan kerjasama antara Media Selangor dengan ADN.

Amirudin berkata berita berkait aktiviti dan usaha wakil rakyat menyelesaikan isu setempat turut dilapor setiap hari di portal empat edisi iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Misalnya, Selangorkini berbahasa Melayu memuatkan sekurang-kurangnya lapan foto ADN dan berita tujuh lagi wakil rakyat setiap minggu bergilir-gilir.

“Sementara tiga edisi lain mempunyai ruangan khas wawancara dan foto khidmat wakil rakyat di Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :