Ruang solat bawah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir. Tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Tinggal sehelai sepinggang lepas empat kali rumah dilanda bah

SHAH ALAM, 24 DIS: Empat kali berdepan musibah banjir dalam tempoh kurang sebulan menyebabkan seorang suri rumah bersama suami dan tiga anaknya tinggal sehelai sepinggang.

Zafira Zainul Abidin, 44, yang menetap di Sungai Udang, Klang berkata kejadian Sabtu lalu paling buruk pernah dilalui sepanjang 10 tahun mendiami kawasan terbabit.

Mengimbas semula insiden yang berlaku sekitar jam 3 pagi, dia berkata hanya suami berada di rumah dan tidak sempat menyelamatkan perkakas kerana air naik paras paha.

Zafira Zainul Abidin

“Suami sebelum itu berada di rumah emaknya untuk mengalihkan barangan kerana dinaiki air, namun tidak sangka apabila pulang, rumah kami juga banjir,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara di Masjid Negeri di sini.

Zafira berkata ketika kejadian, dia dan anak-anak dalam perjalanan pulang dari kampung di Kedah kerana anak bongsu berkhatan, namun terpaksa berpatah balik.

“Sebab tidak sedap hati mengenangkan suami dan rumah yang kami duduki sejak 10 tahun lalu, esoknya saya pulang juga dan mula membersihkannya beberapa hari lalu,” katanya.

Sementara itu, peniaga Mohd Suhely Sulaiman, 44, berkata dia terpaksa meredah banjir paras dada lebih dua kilometer untuk menyelamatkan diri dalam kejadian di Taman Seri Muda di sini.

Dia yang kali kedua berdepan banjir sejak tinggal di situ menyifatkan bencana kali ini paling buruk sejak 1995 ditambah lumpur yang menjejaskan persekitaran.

Mohd Suhely Sulaiman

“Dua jam setengah juga saya bersama jiran meredah banjir, memang tawakal dan berdoa harap air tak naik lagi,” katanya yang bersyukur adik dan anak saudaranya tidak berada di rumah ketika kejadian.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Sukarelawan menyusun kelengkapan pakaian untuk diagihkan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :