Anggota Sukarelawan Selatan menghantar bantuan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Hulu Langat pada 20 Disember 2021. Foto Facebook Tunku Mahkota Johor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Mahkota Johor doakan rakyat Selangor, sedia hantar lebih banyak bantuan

SHAH ALAM, 21 DIS: Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang bertindak menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.

Bantuan makanan dan barangan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang disalurkan melalui Sukarelawan Selatan kepada mangsa banjir di Hulu Langat semalam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, lebih banyak lagi bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Saya berdoa semoga Allah berkati dan kurniakan kekuatan kepada Dato’ (Dato’ Menteri Besar) dan seluruh rakyat Selangor.

“Jikalau perlu apa-apa beritahu saya. Insya-Allah saya akan bantu. Esok lusa saya akan hanta lebih bantuan,” titah baginda melalui Twitter.

Terdahulu baginda membalas Twitter Dato’ Seri Amiruddin Shari yang menjunjung kasih atas bantuan yang disalurkan tersebut.

“Menjunjung kasih DYAM [email protected] atas bantuan dan sokongan. Keprihatinan Tunku amat patik hargai,” kata Amirudin.


Pengarang :