Jemaah menunaikan solat hajat dan munajat bagi mengelak musibah banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Umat Islam dijemput sertai program mohon negeri sejahtera petang ini

SHAH ALAM, 31 DIS: Umat Islam di negeri ini dijemput untuk bersama ke Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 yang akan diadakan lewat petang ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan program itu akan diadakan serentak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini dan masjid-masjid daerah dengan orang ramai boleh hadir seawal jam 6.15 petang.

“Tatacara operasi piawai (SOP) dan jumlah kehadiran adalah sama seperti ditetapkan Jais sebelum ini iaitu 3,500 jemaah di Masjid Negeri.

“Bagi masjid-masjid daerah pula, jumlahnya juga sama seperti SOP sebelum ini iaitu bergantung kepada keluasan masjid antara 750 hingga 1,000 jemaah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari akan turut hadir ke program di Masjid Negeri dengan antara pengisiannya adalah solat maghrib, solat sunat ba’diah (sendiri), solat taubah (sendiri), solat sunat awabin maal hifz iman berjemaah, solat hajat berjemaah, zikir munajat, bacaan yasin dan solat isyak.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir akan memimpin bacaan yasin, tahlil dan doa khas pada program di Masjid Negeri manakala di masjid-masjid daerah akan diketuai pegawai tadbir agama Islam daerah.

Sebelum ini, Amirudin berkata sambutan Tahun Baharu 2022 peringkat negeri dibatalkan dan diganti dengan program keagamaan.

Beliau berkata pihaknya akan menganjurkan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat sebagai menghormati serta bersimpati kepada mangsa banjir.

“Program dikendalikan Jais. Surau, musala digalakkan sertai aktiviti ini dan susun ikut kesesuaian.

“Individu, syarikat atau mana-mana kumpulan dinasihatkan tidak menganjur sebarang program,” katanya.


Pengarang :