Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) menyerahkan cek cura bernilai RM50,000 kepada Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri) bagi pelaksanaan misi bantuan pascabanjir di Selangor pada 25 Disember 2021. Foto Facebook UNISEL
AGENSISELANGOR

Unisel terima sumbangan RM50,000, gerak misi bantuan banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menerima dana berjumlah RM50,000 daripada kerajaan Pulau Pinang bagi menggerakkan misi bantuan pascabanjir.

Presiden dan naib canselornya berkata bantuan yang disampaikan melalui Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mampu meringankan beban mangsa terjejas bencana negeri ini.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kerajaan Pulau Pinang berbesar hati menyalurkan bantuan tersebut berikutan Unisel antara institusi pengajian tinggi (IPT) paling aktif menggerakkan misi terbabit.

“Kita juga menerima sumbangan sebanyak RM15,000 berupa barangan keperluan logistik daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Kedah untuk misi bantuan ini.

“Kita rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyumbang terutama dari aspek tenaga serta kewangan bagi membantu mereka terkesan dengan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mohammad Redzuan turut memaklumkan seluruh aset digerakkan bagi menjayakan misi yang dianggotai 2,340 sukarelawan terdiri pelajar, kakitangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, lebih 300 rumah termasuk beberapa sekolah sekitar Permatang, Ijok, Jeram, Padang Jawa, Sri Muda, Hulu Langat dan Kuala Langat dibersihkan sukarelawan terbabit sejak 21 Disember lalu.

Individu yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun bernombor 8600836700-Cimb (Universiti Selangor) dengan rujukan BANJIR 2021.

Selain wang ringgit, orang ramai juga boleh menyumbang makanan dan barangan logistik kepada petugas dan mangsa banjir dengan menghubungi Pengarah Pusat Jaringan Komuniti Izwan Suhadak Ishak di talian 017-6560102.

 


Pengarang :