Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari membantu membersihkan kawasan terlibat banjir di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 24 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Urusan pascabanjir Petaling lancar, tambah aset kutip sampah

PUCHONG, 24 DIS: Pengurusan pascabanjir di sekitar Petaling yang terkesan dengan bencana itu lancar dan teratur setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa aset meliputi lori sampah dan pengorek kaut perlu ditambah supaya proses pembersihan lebih cepat.

“Sampah di kawasan ini sudah beberapa hari dilonggokkan, jadi kita minta kutipan dibuat segera. Kawasan ini teratur dan dalam kawalan. Semalam di Hulu Langat agak parah.

“Daerah Petaling juga tidak perlu pembaikan menyeluruh, cuma tambah aset untuk percepatkan langkah seterusnya,” katanya selepas membersihkan Kampung Tengah di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari menyantuni mangsa banjir di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 24 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum itu, Amirudin mendengar taklimat di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, yang turut disertai Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Beliau turut menghulur keperluan asas kepada mangsa banjir yang terjejas di kawasan terbabit.

Semalam, Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa bagi menyelaras proses pemulihan banjir termasuk pembersihan dan agihan bantuan di Hulu Langat.

Amirudin turut mengumumkan bantuan awal RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula daerah itu yang terjejas teruk.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

 


Pengarang :