Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas, individu berpenyakit disaran elak ke luar negara

PUTRAJAYA, 1 DIS: Warga emas dan individu dengan komorbiditi disaran tidak membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini dan mengelakkan kawasan awam yang sesak susulan kewujudan varian Omicron yang membimbangkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk sentiasa mematuhi amalan keselamatan Covid-19 terutamanya ke negara yang masih tidak melaporkan kewujudan varian berkenaan dan negara yang disenarai berisiko tinggi.

“Di Eropah contohnya, semakin longgar (tatacara operasi piawai Covid-19), warganegara Malaysia yang ingin ke destinasi luar disaran terus mematuhi peringatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun berada di luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai perkembangan dos penggalak, hairy berkata kehadiran untuk menerima dos penggalak menunjukkan perkembangan baik biarpun pada awalnya kehadiran janji temu tidak memberangsangkan.

Namun Khairy berkata ada warga emas yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai vaksin asal tidak hadir janji temu bagi dos penggalak.

“Diharap mereka segera dapat menerima dos penggalak, lebih-lebih lagi dengan perkembangan varian Omicron kini,” katanya.

Berdasarkan data KKM melalui laman COVIDNOW, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 2,457,510.

Khairy berkata kementerian juga dalam proses memuktamadkan sistem mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 dalam negara, selain mengemas kini Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan varian Omicron.

Mengenai penemuan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tentang kemunculan varian Omicron, Khairy berkata institut itu akan terus menerima data mengenai penjujukan genom dari negara lain mengenai varian itu.

“Jadi, dengan penjujukan genom ini, kita akan dapat mengesan Omicron dengan cepat melalui ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan membolehkan kita memberikan diagnosis yang lebih baik,” katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :