Bekas pemain bola sepak kebangsaan Yusri Che Lah. Foto Facebook All About TRW
AGENDASUKANKINI

Yusri letak jawatan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Jodoh bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah bersama Skuad Projek FAM-MSN tidak kekal lama apabila beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan peletakan jawatan itu dibuat oleh Yusri selepas beliau mendapat tawaran lain bagi meneruskan karier kejurulatihannya musim depan.

Mohd Saifuddin berkata meskipun kontrak pengendali berusia 45 tahun itu masih berbaki setahun bersama pasukan berkenaan, FAM dan Yusri mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak membimbing skuad yang ditubuhkan pada Disember tahun lepas.

Justeru, beliau berkata FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menemu duga beberapa calon dalam masa terdekat bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Yusri bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.

FAM juga, katanya, akan membuat pengumuman berhubung pengganti Yusri sejurus keputusan temu duga itu dicapai.

“FAM menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yusri atas khidmatnya sepanjang semusim mengendalikan Skuad Projek FAM-MSN bagi saingan Liga Premier 2021 dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya nanti,” kata beliau.

Pasukan itu menamatkan saingan Liga Premier 2021 di tangga tercorot dengan mencatat hanya satu kemenangan, tiga seri dan 16 kekalahan dalam 20 aksi liga.

-BERNAMA


Pengarang :