Penduduk membersihkan kediaman selepas dilanda banjir ketika tinjauan di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zakat Selangor kongsi maklumat, panduan mohon bantuan banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkongsi maklumat dan panduan untuk memudahkan ketua keluarga yang terkesan banjir di negeri ini memohon bantuan.

Sumbangan sekali bayar melalui LZS Peduli yang diumumkan pada Isnin hanya sah untuk satu permohonan bagi setiap kediaman terjejas, maklum agensi itu di Facebook.

“Kami amat memahami kesulitan penduduk Selangor yang berdepan bencana banjir, oleh itu LZS memperuntuk bantuan zakat bagi meringankan beban mereka yang terkesan,” kata agensi itu.

Sementara itu, maklumat yang dikongsi dalam poster di platform sama menunjukkan bantuan khusus untuk individu beragama Islam, warganegara atau penduduk tetap.

Pemohon juga mestilah lahir dan menetap di Selangor (bermastautin) tidak kurang dari tiga tahun selain mengemukakan laporan polis atau pengesahan ketua masyarakat berkaitan bencana.

Permohonan bantuan boleh dibuat di https://www.zakatselangor.com.my/lzspeduli.

Pada 20 Disember, LZS mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada setiap ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir.

Selain itu, LZS juga memperuntuk sejumlah RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS).

 


Pengarang :