Pengurus Besar Kohijrah (kiri) Mohd Syukri Ismail menyerahkan bantuan alatan niaga kepada penjaja kecil yang terjejas banjir di Wisma Kohijrah Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam pada 25 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

10 lagi cawangan Kohijrah Mart dibuka, pasar produk usahawan negeri

SHAH ALAM, 26 JAN: Sepuluh lagi cawangan baharu Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mart yang mengumpulkan produk usahawan negeri ini akan beroperasi kelak.

Kawasan terlibat ialah Pandamaran, Telok Panglima Garang, Bukit Rimau, Seksyen 24, Hicom, Setia Alam, Sungai Nibong, Bandar Tun Razak, Cheras dan Gombak, kata pengurus besarnya.

Menurut Mohd Syukri Ismail, penubuhan cawangan dengan usahasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor sebagai tambahan kepada pusat pengumpulan sedia ada di Berjaya Park, Seksyen 32 dekat sini.

“Cawangan berkenaan dalam proses pembinaan, insya-Allah semua akan mula beroperasi dalam tempoh satu atau dua bulan lagi kerana kita tidak mahu produk usahawan terkekang di Berjaya Park sahaja.

“Kalau boleh kita mahu lebarkan (pusat pengumpulan produk) di kawasan bandar dan luar bandar. Jadi, usahawan boleh meletakkan aset mereka tanpa sebarang caj atau sewaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas program penyerahan bantuan alatan kepada 43 peniaga pasar malam sekitar Shah Alam dan Klang yang disampaikan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni semalam.

Mohd Syukri menambah pihaknya melaksanakan pelbagai program bagi membantu memasarkan produk usahawan di Selangor dengan kerjasama agensi berkaitan.

Jelasnya, antara agensi terlibat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia, yang menyediakan program khusus kepada usahawan.

“Kita tahu ramai dalam kalangan usahawan yang menghasilkan produk sendiri, namun tiada tempat untuk pasarkannya. Oleh sebab itu, kita terima produk mereka dan tempatkan di Kohijrah Mart,” katanya.

 


Pengarang :