Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 4 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

100 keluarga mangsa banjir di Morib sudah terima bantuan RM1,000

KUALA LANGAT, 5 JAN: Lebih 800 borang permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) untuk mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib dihantar kepada pejabat daerah dan tanah, kata wakil rakyat Morib.

Hasnul Baharuddin berkata setakat ini kira-kira 100 keluarga di DUN Morib sudah menerima bantuan RM1,000 yang dikhaskan itu.

“Mereka yang belum berbuat demikian dinasihatkan untuk pergi ke pusat pendaftaran yang dibuka di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Jugra dan Balai Penghulu Morib Kelanang.

“Pusat pendaftaran ini dibuka sehingga 31 Januari dan mereka yang terkesan boleh datang ke balai penghulu untuk rujukan,” katanya ditemui selepas meninjau dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin bercakap kepada Media Selangor selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 4 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI

Pada 21 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.


Pengarang :