Selangorkini
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning V Ganabatirau (tiga, kanan) menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir pada 11 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

1,366 keluarga mangsa bah Kota Kemuning terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 12 JAN: Seramai 1,366 keluarga mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima sumbangan RM1,000 melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) semalam.

Ahli Dewan Negerinya berkata jumlah tersebut adalah daripada hampir 3,000 mangsa yang terjejas dari Bukit Lanchong, Lanchung Jaya dan Taman Alam Indah dekat sini.

V Ganabatirau turut menasihatkan keluarga yang belum memperolehnya termasuk kawasan lain di DUN itu agar bersabar berikutan jumlah permohonan yang banyak dan sedang diproses.

“Kita memahami situasi mangsa yang tertekan akibat banjir, namun perlu disemak semua dokumen sebaiknya. Dokumen mereka juga digunakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Justeru, kita mohon mereka yang belum dapat supaya bersabar kerana kita akan pastikan bantuan sampai kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning V Ganabatirau menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir pada 11 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau

EXCO Kerajaan Negeri itu menjelaskan selain BSB, kesemua 1,366 keluarga mangsa turut menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan persekutuan dengan jumlah sama.

Manakala bantuan barang keperluan harian (BKH) bernilai RM2,500 sudah diagih kepada sebahagian daripada mereka.

“Ini menjadikan keseluruhan bantuan kewangan diterima ketua isi rumah terjejas bernilai RM4,500 hasil sumbangan Kerajaan Selangor dan persekutuan. Diharap ia meringankan beban mangsa ketika ini yang kehilangan banyak harta benda,” katanya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :