Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj (kanan), berkenan memberi pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada Leftenan Omar Zahran Mohamed Kurdi pada Istiadat pengurniaan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

145 individu dari tujuh daerah terima pingat Sultan Selangor

SHAH ALAM, 11 JAN: Seramai 145 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.

Semua penerima terbabit dari tujuh daerah iaitu Hulu Selangor; Gombak; Hulu Langat; Kuala Langat; Kuala Selangor; Sabak Bernam dan Sepang.

Seramai 20 individu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala 25 Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC); 64 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 36 individu pula Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj yang mewakili Sultan Sharafuddin di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Barisan penerima pingat kebesaran pada Istiadat pengurniaan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

PPT dianugerah kepada individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.

PJK pula dianugerahkan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Manakala PPS dianugerah kepada individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2019 ini tertangguh susulan Covid-19 dan bertujuan menghargai jasa serta sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.

Semalam seramai 209 individu dari daerah Petaling dan Klang menerima pingat kebesaran sempena sambutan ulang tahun yang sama.


Pengarang :