Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zamanhuri menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto: SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

1,500 mangsa bah di DUN Pelabuhan Klang dapat bantuan negeri, pusat

KLANG, 12 JAN: Seramai 1,500 mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus melibatkan penduduk Pulau Indah manakala baki dari Telok Gong, lokasi terawal dilanda bah tahun lalu, kata wakil rakyatnya.

Selain mendapat RM1,000 sumbangan negeri, Azmizam Zamanhuri berkata mangsa juga menerima Bantuan Wang Ihsan dengan jumlah sama daripada kerajaan persekutuan.

“Walaupun bantuan yang diterima tidak sebanyak kerugian dialami mangsa tetapi kita berharap ia dapat meringankan beban mereka akibat bencana yang dialami,” jelasnya.

Pada 21 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah hujung tahun lepas.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :