EXCO Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bergambar bersama peserta geran padanan halal suri ketika Majlis Pelancaran Inisiatif Halal Suri di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

20 wanita terima bantuan peti sejuk beku, jana pendapatan dari rumah

SHAH ALAM, 13 JAN: Seramai 20 peserta program Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) menerima peti sejuk beku bersama produk untuk dijual mulai minggu hadapan.

Pengurus Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mohammad Syukri Ismail berkata pemberian itu adalah bagi fasa pertama daripada 56 peserta yang terpilih.

“Peti sejuk beku bernilai RM2,000 ditaja oleh Kerajaan Negeri manakala produk untuk dijual pula adalah modal peserta sendiri.

“Bagi peserta yang belum dapat peti sejuk beku dan produk, kita akan berikan dalam fasa seterusnya. Insya-Allah semua peserta dapat memulakan perniagaan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 9 Disember lalu, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri bagi membantu suri rumah menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata seramai 56 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek rintis dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Katanya setiap peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000, manakala untuk permulaan modal perniagaan, mereka perlu melabur RM2,000 bagi membeli barangan sejuk beku halal.


Pengarang :