Mangsa banjir Ahmad Bakhtiar Zainuddin, 32, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit yang diterima di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

20,086 mangsa bah dapat bantuan negeri RM1,000

SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 20,086 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat pagi ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM20.196 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, seramai 11 waris korban di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 6,483 isi rumah diikuti 3,600 penduduk Hulu Langat manakala 3,508 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 2,326 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (645), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :