Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj (kanan), berkenan memberi pingat kepada penerima ketika Istiadat pengurniaan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada 10 Januari 2022. Seramai 209 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

209 individu terima pingat kebesaran Sultan Selangor bagi 2019

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 209 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.

Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS) dikurniakan kepada penerima dari daerah Petaling dan Klang.

PPT dianugerah kepada 32 individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala 41 penerima PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.

PJK pula dikurnia kepada 97 individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Sementara PPS dianugerah kepada 39 individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj, yang mewakili Sultan Sharafuddin di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2019 yang tertangguh susulan Covid-19 bertujuan menghargai jasa dan sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.


Pengarang :