Petugas kesihatan menyediakan dos penggalak vaksin Covid-19 di pusat vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 8 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

3,010 kes baharu Covid-19, 99 peratus kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Jumlah kes Covid-19 dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan untuk hari ketiga berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 3,010 kes iaitu berkurangan sedikit berbanding 3,074 kes, semalam.

Sebelum itu, sebanyak 3,346 kes dilaporkan pada 14 Januari iaitu menurun berbanding 3,684 kes yang dilaporkan pada 13 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 3,010 kes dilaporkan hari ini, 99.1 peratus atau 2,982 kes dalam kategori satu dan dua.

“Hanya 28 kes atau 0.9 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 2,584 kes sembuh yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 2,735,355 kes.

Menurut Dr Noor Hisham daripada 3,010 kes baharu yang dilaporkan hari ini 2,747 adalah kes tempatan manakala 263 adalah kes import.

Beliau berkata sebanyak tujuh kluster baharu dikesan KKM pada hari ini menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 176 kluster.

Katanya, kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara pada hari ini ialah 0.99 dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 1.08 dan empat negeri pada kadar sifar. Keempat-empat negeri tersebut ialah Sarawak, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham berkata tiada kes baharu positif Covid-19 mahupun kluster baharu dikesan dalam kalangan mangsa terjejas banjir hari ini dan jumlah kes positif yang dicatatkan kekal 471 kes dan satu kluster.

Beliau berkata tiada penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :