Orang ramai melihat produk tempatan yang dijual ketika Majlis Pelancaran ‘Program BAIK Kampung Baru Cina’ sempena Tahun Baru Cina 2022 di Kampung Baru Batu 11, Cheras pada 9 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

35 produk makanan kampung baru berpotensi dikomersial

CHERAS, 9 JAN: Sebanyak 35 produk makanan di kampung baru dikenal pasti berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, kata EXCO pembangunan kampung baru.

Ng Sze Han berkata semua produk tersebut akan menjalani latihan menerusi Program BAIK supaya produk mereka dinaik taraf daripada segi pembungkusan dan pemasaran.

“Program BAIK dianjurkan bermula Ogos tahun lalu untuk mencari produk terbaik dari kampung baru di Selangor. Kita sedia maklum makanan di kampung baru memang sedap tetapi bungkusannya kurang menarik.

“Melalui program ini produk makanan dapat dinaik taraf supaya menjadi lebih menarik dan mencapai objektif iaitu memasuki pasaran di seluruh Malaysia berbanding di Selangor sahaja,” katanya ditemui di Kampung Baru Batu 11 di sini hari ini.

Sze Han berkata buat masa ini, pihaknya telah dihubungi beberapa platform dalam talian yang berminat untuk memasarkan produk kampung baru itu.

“Penglibatan dalam platform ini dapat membantu membangunkan ekonomi penduduk terjejas terutama ketika pandemik sekali gus menambah pendapatan.

“Kita merancang untuk menganjurkan program BAIK ini secara tahunan untuk mencari lebih banyak produk dan bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah),” katanya.


Pengarang :