Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada 18 Januari 2022. Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil bagi menghormati Dewa Murugan sempena memperingati hari kelahiran dewa itu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

500 bungkus makanan diagih elak penganut Hindu berkumpul rai Thaipusam

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 500 bungkus makanan diedarkan secara percuma kepada penganut Hindu yang meraikan Thaipusam di Kuil Bandar Country Homes, Rawang hari ini.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan itu bagi mengelak masyarakat berkumpul di lokasi berkenaan sebaik selesai melakukan upacara keagamaan.

“Meskipun diraikan secara sederhana, namun sambutan perayaan di kuil terbabit berjalan agak baik dan lancar dengan rata-rata penganut mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selepas menunaikan hajat, mereka diberikan makanan bungkus dan diarah beredar dari kawasan kuil,” kata Dr G Gunarajah ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berharap masyarakat Hindu dapat menerima hakikat perayaan itu sekali lagi terpaksa disambut kecil-kecilan, tidak seperti kelaziman susulan pandemik Covid-19.

“Paling penting mereka berpeluang menunaikan hajat. Mungkin tahun depan kita boleh meraikan seperti biasa memandangkan akan beralih ke fasa endemik,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.


Pengarang :