Selangorkini
Sekitar program penyerahan wang tunai Bantuan Selangor Bangkit dan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Jalan Kebun di lobi Pejabat Daerah/Tanah Klang pada 4 Januari 2022. Foto Facebook Pejabat Daerah/Tanah Klang
AGENSI SELANGOR

500 mangsa bah Jalan Kebun dapat bantuan negeri

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 500 mangsa banjir di Jalan Kebun dekat sini menerima RM1,000 melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB) hari ini.

Penyerahan pagi tadi di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Klang turut bersekali dengan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan persekutuan.

Dalam kenyataan di Facebook, PDT itu memaklumkan bayaran diagih berperingkat dan meminta pemohon peka terhadap nombor telefon yang diisi pada borang.

“Pihak kami akan memaklumkan hebahan secara khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon,” katanya.

Seramai 8,219 keluarga terjejas banjir di negeri ini memperoleh bantuan RM1,000 melalui BSB dengan kos keseluruhan RM8.239 juta setakat ini, yang dijangka selesai hujung Januari.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

 


Pengarang :