Kumpulan Hands Percussion dengan persembahan gendang Cina adalah antara artis tempatan yang terlibat dalam sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

55 artis tempatan jayakan Tahun Baharu Cina peringkat negeri

SHAH ALAM, 25 JAN: Seramai 55 artis tempatan tampil membuat persembahan sepanjang siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari.

Pengerusi jawatankuasa khas agama Buddha dan Tao Selangor berkata pelbagai program hiburan ditayangkan termasuk persembahan gendang Cina, nyanyian, tarian singa selain ucapan ringkas daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Antara yang membuat persembahan Kumpulan Dua Sekawan dianggotai Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck selain Lee Elaine, Sara Heng dan Lim Wen Suen turut tampil menyanyi.

“Tarian singa yang sinonim dengan perayaan ini dari Persatuan Tarian Singa Hong Jing manakala persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion yang aktif sejak 1997,” kata Dato’ Teng Chang Khim kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri meneruskan sambutan secara dalam talian buat kali kedua selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program selama sejam itu disiarkan di Facebook rasmi Chang Khim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 Februari bermula 9 malam.

Orang ramai tanpa mengira kaum berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif yang boleh ditulis dalam pelbagai bahasa.


Pengarang :