Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Mukim Ujong Permatang dan Mukim Tanjong Karang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang pada 19 Januari 2022. Foto ihsan Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

595 mangsa bah DUN Permatang selesai dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 384 keluarga mangsa banjir di Mukim Ujong Permatang dan Mukim Tanjong Karang menerima Bantuan Selangor Bangkit bernilai RM1,000 hari ini.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata agihan fasa ketiga melibatkan mangsa yang kekal di rumah dalam insiden pertengahan Disember tahun lalu.

“Kali pertama membabitkan 153 keluarga, kedua pula 58 keluarga. Pemberian pertama dan kedua adalah mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata agihan secara berperingkat kepada mangsa bah diselesaikan segera termasuk buat mereka yang berdepan isu pertindihan data.

“Ada beberapa kes bertindih di mana bapa dan anak yang tinggal serumah memohon serentak, jadi ia berlaku sedikit kelewatan,” kata Rozana.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :