Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah (kiri) menyerahkan barang keperluang bayi kepada keluarga memerlukan di kawasan DUN Sentosa pada 21 Januari 2022. Foto Facebook Dr G Gunarajah
ADNBERITA UTAMASELANGOR

60 keluarga susah terkesan bah di DUN Sentosa dapat keperluan bayi

SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 60 keluarga kurang berkemampuan yang terjejas banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima barangan keperluan bayi, kelmarin.

Ahli Dewan Negerinya Dr G Gunarajah berkata inisiatif yang menerima sambutan baik diusahakan sejak minggu lalu dengan pendaftaran bantuan dibuat secara dalam talian.

Beliau memaklumkan antara barangan yang diagih ialah susu formula, bijirin, lampin dan botol susu.

“Barangan keperluan ini disumbangkan pelbagai pihak dan pusat khidmat dengan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) membantu melancarkan agihan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut berharap pemberian itu meringankan beban ibu bapa khususnya ketika berhadapan situasi mencabar pada ketika ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :