SHAH ALAM, 7 JAN: Sebanyak 77,000 tan metrik sampah pukal dikutip susulan banjir melanda negeri ini pada Disember lalu, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 47,000 tan metrik dikutip syarikat pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Management manakala 30,000 tan metrik pula oleh pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi lain.
“Terima kasih kepada semua pihak khususnya semua yang terlibat dalam program pembersihan pascabanjir,” katanya pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat yang dijangka selesai sekitar Januari.
Bermula 27 Disember, operasi pembersihan dilanjut sehingga malam untuk mempercepatkan kutipan sampah pukal pascabanjir terutama di kawasan kritikal.