Kerja pembersihan pasca banjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

78,000 tan sampah bah dikutip, tumpu bersihkan longkang

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan di kawasan terjejas banjir di seluruh negeri sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata sebanyak 48,000 tan dikutip pihaknya manakala baki oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan tumpuan seterusnya melibatkan pembersihan longkang di kawasan terkesan setelah operasi kutipan selesai sepenuhnya malam tadi.

“Justeru, saya mohon penduduk yang masih ada sampah banjir yang perlu dibuang boleh keluarkan dalam tempoh sehari dua ini,” katanya dalam program Bual Bicara disiarkan SelangorTV malam tadi.

Mengulas cabaran sepanjang operasi itu, beliau berkata pihaknya berdepan kekurangan aset apabila hampir 14 peratus lori Roll on Roll off (RoRo) dan 10 peratus kompaktor ditenggelami banjir.

Ramli memaklumkan hampir 454 lori RoRO masuk ke kawasan terjejas setiap hari bagi mengutip sampah dan pihaknya berusaha membantu memudahkan individu terkesan bencana.

“KDEBWM memohon maaf kepada penduduk sekiranya lambat dalam menghulurkan bantuan,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :