Selangorkini
Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Klang – Banting, Klang pada 3 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

8.6 juta saman trafik dibayar sepanjang tempoh tawaran diskaun

DUNGUN, 1 JAN: Sebanyak 8.6 juta saman trafik diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis hingga semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

“Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Banjir di Kampung Jongok Batu hari ini.

Ditanya sama ada tempoh tawaran diskaun tersebut akan dilanjutkan, Acryl Sani berkata pihaknya tidak bercadang berbuat demikan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara dan kesemuanya mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

“Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep ‘gotong-royong’. Di peringkat kontinjen pun telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

“Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat. Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 mangsa korban banjir dicatatkan setakat hari ini manakala dua lagi mangsa iaitu di Telemong dan Bentong, Pahang masih hilang sejak bencana itu melanda di beberapa negeri bulan lepas.

-BERNAMA


Pengarang :