Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

87 individu dikurnia darjah, bintang kebesaran Sultan Selangor

KLANG, 22 JAN: Ahli Dewan Diraja Selangor mengetuai senarai 87 penerima pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini.

Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj menerima menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K II) yang dikurniakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.

Turut berkenan berangkat dalam istiadat itu ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Seramai tujuh penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Dato’ Mohd Shafiq Abdullah.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran Dato’ dikurniakan kepada sembilan individu antaranya Juruiring Tentera Sultan Selangor Kepten Dato’ Ahmad Ramli Kardi, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Pengarah Hospital Serdang Dato’ Dr Rohana Johan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima.

Antara yang menerimanya adalah Pakar Kardiologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Kolonel Dr Mohd Rafizi Mohamed Rus, Pengarah Lembaga Tabung Haji Selangor Zurita Ahmad Raffie, Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahilah Rahmat.

Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) dikurniakan kepada 14 penerima antaranya Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor Faizatul Aini Mohd Adnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Khairul Anuar Zainun.

Seramai 15 penerima turut dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) antaranya Pegawai Staf 1 Rancang Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Leftenan Kolonel Mohammad Noh Abdul Kader, Pakar Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Tan Ran Zhi dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Dato’ Menteri Besar Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Baginda juga mengurniakan 14 penerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada Ketua Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Covid-19 Jabatan Agama Islam Selangor Nurhelmi Ikhsan, Pengerusi Pertubuhan Amal Team Mohd Zulhairi Zainol dan Penyelaras Pengurusan Jenazah Covid-19 Mohd Zainuddin Abu Bakar.

Tujuh penerima dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) antaranya Penolong Pegawai Memerintah Rejimen Ke-7 Artileri Diraja Markas Tentera Darat Mejar Syed Mohammad Abdillah Syed Talib dan Imam Masjid Negeri Samsul Muhaimin Abdullah Saleh.


Pengarang :