Kenderaan yang terkandas ketika banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

ADN gesa PM tidak politikkan isu banjir, tiada amaran awal bah besar di Selangor

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya menggesa perdana menteri tidak mempolitikkan isu banjir besar yang melanda Selangor hujung tahun lalu.

Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Michelle Ng Mei Sze berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga didapati tidak mengeluarkan amaran awal bah di negeri ini.

“Pada jam 3.45 petang, Selangor diramal hujan dalam kategori kuning (waspada) – daerah-daerah yang teruk terjejas Petaling, Klang, Hulu Langat tidak disebut.

“Ramalan jam 11.50 malam – tiada hujan,” katanya, merujuk ramalan hujan MetMalaysia di media sosial pada 17 Disember.

“Pada 18 Disember, ramai yang terkandas. Tetapi ramalan pada 12 tengah hari, perhatikan Selangor masih disenarai dalam kategori kuning – waspada, bukan buruk.”

Walau tiada amaran hujan luar jangka daripada MetMalaysia, kata Michelle lagi, pentadbiran Selangor mula menggerakkan usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir.

“Wakil-wakil rakyat sudah bergerak di kawasan-kawasan banjir,” katanya. “Hanya pada jam 2 petang (18 Disember), Selangor tiba-tiba diramalkan dalam keadaan bahaya (kategori merah).”

Penduduk Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya membersihkan kediaman selepas dilanda banjir ketika tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut ada kelemahan di peringkat negeri dan daerah Selangor sehingga memaksanya campur tangan.

“Sikap Ismail Sabri mempolitikkan bencana ini berunsur tidak bertanggungjawab. Apakah ini tujuan mesyuarat khas Parlimen? Tolonglah, jadilah seorang negarawan,” kata ADN itu lagi.

“Jelaslah Kementerian Alam Sekitar dan Air khususnya MetMalaysia perlu diperkasakan agar dapat memberi ramalan yang lebih tepat, jadi semua agensi berkaitan dapat bersiap sedia. Apa rancangan perdana menteri?”

Dalam ucapan yang sama, perdana menteri mengakui kejadian banjir di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”


Pengarang :