Wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim (dua, kiri) menyerahkan sumbangan hamper dan angpau Tahun Baharu Cina kepada penduduk Kampung Baru Site C Sekinchan pada 24 Januari 2022. Foto Facebook Ng Suee Lim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN kongsi rezeki, rai warga emas sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 27 JAN: Kesibukan sebagai wakil rakyat bukan halangan untuk menyantuni insan memerlukan dan meluangkan masa bersama keluarga menjelang Tahun Baharu Cina.

Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, tradisi menziarahi penghuni pusat jagaan warga emas dan anak yatim sekitar Klang antara aktiviti wajib sejak 15 tahun lalu.

Menurut Ng Suee Lim, agihan angpau dan sumbangan keperluan juga dibuat saban tahun sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap golongan kurang bernasib baik.

Ng Suee Lim (dua, kanan) menyerahkan tablet kepada pelajar sekitar Parlimen Tanjong Karang bagi mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) pada 25 Oktober 2021. Foto Facebook Ng Suee Lim

“Di sebalik kesibukan, ini adalah satu perkara bermakna bagi saya. Saya melawat untuk berkongsi rezeki dan kasih-sayang memandangkan mereka antara golongan yang tidak diberi perhatian.

“Saya nampak sekarang ramai anak-anak yatim di situ melangkah ke menara gading dan berkerjaya,” katanya dalam borak santai Tahun Baharu Harimau di Instagram Media Selangor semalam.

Bercerita lanjut, beliau berkata tradisi makan besar juga dibuat saban tahun pada malam perayaan yang menghimpunkan sanak-saudara di kampung halaman dekat Sekinchan.

“Datuk dan nenek biasanya masak aneka juadah untuk dinikmati seluruh ahli keluarga,” kata Suee Lim.

Wakil rakyat Bukit Lanjan pula berkata seluruh ahli keluarganya wajib berkumpul di rumah ibu bapanya di Ipoh, Perak pada jam 12 tengah hari, sehari sebelum perayaan untuk makan tengah hari.

Elizabeth Wong juga sentiasa memberi kejutan kepada ibu bapa dan adik-beradik lain dengan meletakkan angpau bawah bantal bagi menggamatkan suasana perayaan.

Lim Yi Wei bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kampung Tunku di Tapak Pasar Malam Sungai Way, Petaling Jaya pada 18 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei, semua ahli keluarga perlu memakai busana berwarna terang sepanjang 15 hari perayaan tersebut kerana bimbang dimarahi datuk dan nenek.

Menurutnya, mereka juga tidak dibenarkan menyapu lantai rumah pada hari pertama hingga empat perayaan kerana dianggap menolak tuah.

“Pada hari keempat, kami akan menyambut kedatangan dewa. Biasanya, ada lukisan dewa di rumah dan dewa akan memberi laporan baik tentang keluarga kami kepada maharaja,” katanya yang beraya di Ipoh.


Pengarang :