Mangsa banjir membawa pulang barangan sumbangan yang baru diterima di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Agihan bantuan banjir fasa pertama di Dengkil dijangka selesai Selasa

BANTING, 1 JAN: Agihan bantuan RM1,000 kepada kira-kira 5,000 mangsa banjir untuk kumpulan pertama sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil dijangka selesai Selasa depan.

Pegawai Penyelarasnya Hamidi A Hasan berkata sumbangan melalui inisiatif Selangor Bangkit sudah mula diedar kepada 700 keluarga terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Khamis lalu.

“Agihan bantuan dibuat dalam tiga fasa yang akan memanfaatkan hampir 15,000 keluarga terlibat dengan bencana. Semalam (30 Disember) bermula bayaran fasa pertama berdasarkan rekod di PPS.

“Fasa kedua dikhususkan kepada mangsa terjejas tetapi tidak dipindahkan dan fasa ketiga lain-lain kes. Permohonan masih banyak diterima dengan ketua kampung serta pejabat pusat khidmat masyarakat sedang membuat proses pengesahan,” katanya.

Pegawai Penyelaras DUN Dengkil Hamidi A Hasan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan kelengkapan rumah kepada 237 penduduk terjejas banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini semalam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :