Keadaan kawasan di sekitar Pantai Kelanang, Kuala Langat yang dilanda air pasang besar pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Air pasang besar: Bomba Selangor tempatkan anggota di kawasan berisiko

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menempatkan anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan susulan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan bermula hari ini.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata seramai enam anggota dari setiap balai ditempatkan di kawasan dikenal pasti berisiko seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sungai Besar, Kuala Langat, Banting, Kuala Selangor dan Sepang.

“Anggota kita sudah mula menjalankan tugas pagi tadi dengan rondaan dilakukan secara berkala. Bagi penduduk berada di kawasan ini saya nasihatkan mereka sentiasa berwaspada,” katanya kepada SelangorKini.

Norazam berharap orang ramai khususnya di kawasan terlibat agar patuh dengan arahan apabila diarah berpindah jika air naik secara berterusan.

“Segera tinggalkan rumah jika air mula masuk dengan anggota kita sedia membantu, namun biasanya situasi air pasang ia hanya sementara dan air akan surut tidak lama kemudian.

“Bagaimanapun langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana kita khuatir jika berlaku hujan ia akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).


Pengarang :