Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau air laut yang melimpah hingga ke jalan raya berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air pasang besar jadi lebih buruk jika bertembung angin kencang, hujan lebat

SHAH ALAM, 2 JAN: Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku hari ini hingga Rabu boleh bertukar buruk jika disertai angin kencang dengan ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengingatkan penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia disaran lebih berwaspada dengan fenomena berkenaan.

“Fenomena air pasang besar pada kali ini berskala lebih kecil berbanding kejadian pada November lalu, namun keadaan itu akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Situasi itu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” kata agensi tu menerusi kenyataan.

Nadma memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi makluman awal yang dikemaskini dari semasa ke semasa agar semua pusat kawalan operasi bencana dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

JPS menerusi kenyataan sebelum ini mengingatkan penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan itu memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).


Pengarang :