Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membuat pemantauan fenomena air pasang besar sepanjang pesisir pantai sekitar Kuala Selangor pada 4 Januari 2022. Foto ihsan JBPM Selangor
AGENSISELANGOR

Air pasang besar: Keadaan terkawal, tiada rumah penduduk terjejas

SHAH ALAM, 4 JAN: Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terkawal serta tidak menjejaskan rumah penduduk pada hari ketiga, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata berdasarkan laporan dan pemantauan di Klang dan Kuala Selangor, air pasang berada di paras ketinggian lima meter pada pagi tadi.

“Pemantauan di Kuala Selangor iaitu di Pantai Remis, Pantai Jeram dan jeti jambatan Kuala Selangor antara jam 6.50 pagi hingga 8 pagi mendapati terdapat peningkatan air pasang tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran.

“Manakala di Klang iaitu Jeti Nelayan Kampung Tok Muda dan Jeti Nelayan Jalan Kunci Air Kapar pada jam 6 pagi hingga 7 pagi mendapati air pasang berada paras lima meter dengan rumah penduduk tidak dinaiki air dan surut pada jam 6.55 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Norazam pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya menempatkan enam anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan sepanjang fenomena air pasang besar.

Ia susulan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan beberapa kawasan di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian) akan mengalami fenomena itu bermula 2 Januari (Ahad) hingga 5 Januari (esok).


Pengarang :