Keadaan kawasan di sekitar Pantai Kelanang, Kuala Langat yang dilanda air pasang besar pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air pasang besar landa empat negeri, penduduk pesisir pantai disaran waspada

SHAH ALAM, 2 JAN: Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

“Walaupun kejadian fenomena air pasang besar kali ini diramal berskala kecil berbanding November lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.

“Orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihat lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPS turut meminta orang ramai sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa.


Pengarang :