Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada Media Selangor selepas penyerahan sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ajaran sesat gerakan akhir zaman, Jais pantau penyebaran

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memantau penyebaran ajaran sesat Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula disebarkan di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu di negeri ini.

“Ajaran sesat di Selangor banyak ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Ajaran sesar Gaza ini mungkin baharu atau datang daripada ajaran lama sebelum ini.

“Kita akan siasat perkara ini, saya sudah berbincang dengan pengarah Jais dan ketua polis negeri untuk menyiasat perkara, kemudian baru kita ambil tindakan susulan jika ada,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai kumpulan berasal dari Indonesia yang diberi nama Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.


Pengarang :