Kenderaan meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan berterusan peringkat jingga di empat negeri hingga Isnin

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin ini (3 Jan).

MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan 1 tengah hari tadi memaklumkan hujan lebat berterusan itu membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta seluruh Melaka.

Hujan berterusan peringkat kuning (waspada) pula dijangka berlaku di Perak melibatkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson); dan Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga Isnin.

Amaran tahap waspada itu turut dijangka berlaku hingga Selasa (4 Jan) di Kelantan, Terengganu, Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Sabah iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.

-BERNAMA


Pengarang :